Kenapa saya menimbulkan isu ini?
Kerana pada tengahari tadi, satu mesyuarat AJK OPTIMIST telah diadakan. Mesyuarat itu agak kurang tersusun bagi diri ini . Biarpun pelbagai isu telah diperbincangkan, namun masih banyak yang perlu dilakukan oleh OPTIMIST terutamanya Ahli Majlis Tertinggi dan Ahli-ahli Jawatankuasa kerana dapat dilihat bahawa OPTIMIST masih setahun jagung. Ungkapan setahun jagung ini bukannya satu ungkapan untuk merendah-rendahkan sesiapa atau mana-mana organisasi (jika di sini, ia ditujukan kepada OPTIMIST).
Setahun jagung yang dimaksudkan (dari sudut positif) ialah betapa perlunya para ahli dan AJK memperkasakan perjalanan persatuan dengan menambah ilmu berorganisasi/berpersatuan selain meningkatkan kemahiran mengurus dalam segala aspek organisasi. Ilmu pengetahuan dan kemahiran ini bukanlah semuanya datang dari dalam diri kita kerana bukan semua dilahirkan untuk menjadi pemimpin. (Not all of us was born to be a leader).
Pemimpin yang terbaik sebenarnya pemimpin yang belajar dari pengalaman. Pengalaman jatuh bangun, pengalaman gagal, pengalaman yang berjaya, pahit getir, masam manis kehidupan. Pemimpin seperti ini yang sentiasa belajar dan belajar dari pengalaman adalah pemimpin yang berjaya. Insya-Allah.
Oleh itu, saya sangat mengharapkan agar OPTIMIST sebagai sebuah persatuan yang berdaya maju dan masih baru boleh dibentuk ke arah amalan cemerlang dalam berorganisasi. Jangan biarkan generasi masa hadapan yang bakal mewarisi kepimpinan persatuan hilang arah tuju kerana kita tidak membantu mereka dalam membina asas yang kukuh kepada mereka untuk bertapak.
Ya! Asas kukuh, tapak yang stabil, bakal melahirkan bangunan yang utuh. Biar gegar, biar gempa, tiada jua runtuhnya jika batu-batanya kemas dan rapi, disusun cantik, dihias indah, menampakkan seri. Itulah organisasi terbilang!!!
No comments:
Post a Comment